Isnin, 3 Oktober 2011

Rahsia Surah Al-Khauthsar

Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga.Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa,mudah-mudahan Allah s.w.t. makbulkan doa kita.

2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher, Insya'allah hilang dahaga.

3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal,bengkak,sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x,mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5)Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.

7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x,Allah s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.

Isnin, 19 September 2011

Makanan dan Hikmahnya dalam Islam

Roti (khubz)
  • Roti yang paling bagus ialah diperbuat daripada gandum yang baik dimasak dalam pembakar roti yang bulat. Roti itu dibiarkan sejuk sebelum dimakan, jika tidak kita akan merasa haus bila emakannya. Roti yang sudah lama dan tidak elok akan menyebukan perut. Roti yang terdapat sekam gandum mudah dicernakan. Nabi s.a.w. pernah

Wanita & Rama-rama

Melihat gelagat rama-rama membuatkan ramai orang menjadi suka, ceria dan terpesona. Ramai yang akan tersenyum melihat kecantikan rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Pasti ada yang tidak kena jika ada bunga yang tidak dihinggapi rama-rama.


Ramai yang akan tertarik untuk menangkap rama-rama apabila

Isnin, 8 Ogos 2011

Maksud sebenar TADARUS


BULAN Ramadan merupakan bulan diturunkan al-Quran, maka marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan membaca al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-soleh dan Rasulullah SAW sendiri. Persoalan di sini ialah apakah maksud tadarus itu? Adakah hanya membaca atau melihat terjemahan atau bagaimana?

Jika sekiranya dikehendaki dengan membaca, sudah tentu disebut dengan qiraah yang bermaksud bacaan. Justeru maksud tadarus lebih kepada saling semak menyemak dan mempelajari serta mengkaji yang menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan.

Seperti kata al-Syahid Hasan al-Banna berkenaan dengan hak al-Quran dalam bukunya Majmu' Rasail: "Saya tidak pernah melihat sesuatu yang kelihatan seolah-olah dijaga rapi tetapi sebenarnya disia-siakan atau seolah-olah dipelihara tetapi sebenarnya diabaikan seperti mana yang berlaku pada al-Quran sebagai sebuah kitab yang lengkap, suatu sistem yang bersepadu dan menjadi tunjang kepada segala urusan agama dan dunia."

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 42 yang bermaksud: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya, ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.

Menyentuh tentang al-Quran ada tiga perkara penting yang perlu ditekankan oleh umat Islam;

Kerapkan membaca al-Quran, beribadat dengan membaca al-Quran dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca al-Quran.

Meletakkan al-Quran sebagai sumber rujukan kepada hukum dan syariat agama. Al-Quran perlu diambil, dipetik, dicedok dan dipelajari.

Meletakkan al-Quran sebagai asas undang-undang dunia yang akan dirujuk. Fasal-fasal dalam al-Quran yang bijaksana ini perlu dilaksanakan.

Ini adalah objektif utama Allah menurunkan kitab ini dan matlamat Allah mengutuskan Rasul-Nya. Allah SWT mewariskan kitab-kitab-Nya untuk kita agar ia menjadi penasihat, pembimbing, menjadi hukum yang adil dan neraca yang benar.

Generasi silam yang diredai Allah memahami objektif ini, kerana itu mereka bangkit melaksanakan sebaik-baiknya. Ada di kalangan mereka membaca seluruh al-Quran selama tiga hari. Ada yang membaca selama tujuh hari. Ada yang membaca al-Quran kurang dari tempoh itu dan ada yang lebih.

Ada di antara mereka yang tidak berkesempatan membaca al-Quran, mereka akan melihat mushaf al-Quran dan memaca beberapa ayat al-Quran kemudian berkata: "Mudah-mudahan saya tidak termasuk dalam golongan yang menyisihkan al-Quran."

Al-Quran adalah teman mereka. Al-Quran adalah wirid dalam ibadat mereka. Sepanjang malam dan siang mereka akan membaca al-Quran. Semoga Allah meredai khalifah ketika iaitu Saidina Uthman yang masih tidak bercerai daripada mushaf walaupun dikepung dan pedang terhunus di tengkuknya.

Dari awal malam dia membaca kitab Allah. Di hujung malam dia menemui ajalnya

Semoga Allah merahmati orang yang sedang meratap sedih kematiannya dengan ratapan yang paling indah ungkapannya: Mereka membunuh orang tua yang padanya ada tanda sujud. Orang yang menghabiskan malam dengan mengucap tasbih dan membaca al-Quran.

Jika anda kaji sejarah hidup mereka, anda akan dapati tiada seorangpun di antara mereka yang mengabaikan kitab Allah SWT atau tidak membaca kitab Allah selama seminggu. Apatah lagi untuk mengabaikannya selama sebulan atau setahun atau bertahun-tahun. Tidak perlulah saya bentangkan kepada anda kisah-kisah menarik dan mengkagumkan seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah.

Apabila mereka mahu meneroka hukum agama Allah, al-Quran akan menjadi rujukan pertama mereka. Apa lagi jika tidak kitab Allah yang akan menjadi rujukan pertama mereka? Anda dapat lihat bagaimana Nabi SAW telah bersetuju dengan Muaz apabila Baginda bertanya Muaz tentang apakah asas dia menjatuhkan hukuman. Muaz menjawab: "Dengan Kitab Allah. Muaz mulakan dengan Kitab Allah, kemudian barulah diikuti dengan sunnah yang suci."

Anda sendiri tahu bagaimana Umar melarang ramai sahabat yang dihormati daripada menyampaikan hadis kepada orang ramai. Sedangkan mereka begitu hampir dengan zaman Islam, mereka amat tahu tentang hadis dan pelbagai kisah. Apa yang dilakukan oleh Umar itu bertujuan supaya mereka dapat mengajar al-Quran terlebih dahulu kepada orang ramai agar mereka diajar apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh al-Quran.

Anda juga tahu bagaimana imam yang masyhur di kalangan tabiin dan tabi' tabiin seperti Sa'id bin al-Musayyab, mereka tidak membenarkan orang ramai menulis fatwa mereka kerana mereka tidak mahu orang ramai hanya tertumpu kepada fatwa mereka dan mengabaikan kitab Allah.

Sa'id pernah mengoyakkan sehelai kertas daripada tangan orang yang menulis fatwanya. Beliau berkata: "Anda ambil kata-kata saya tetapi meninggalkan Kitab Allah kemudian anda pergi sambil berkata Sa'id berkata begini! Sa'id berkata begini! Sepatutnya anda berpegang dengan Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.

Apakah dengan kisah-kisah begini anda tidak dapat melihat bagaimana generasi silam yang soleh dan diredai Allah SWT meletakkan Kitab Allah sebagai asas yang menjadi rujukan ketika mereka mendalami agama dan hukum Allah?

Bagi mereka segala urusan dunia perlu menurut apa yang diperintahkan oleh Kitab Allah dan akur kepada hukum al-Quran.

Segala hak perlu ditunaikan, segala hukuman perlu dilangsungkan, segala hukum perlu dilaksanakan, segala perintah perlu dijalankan. Semua ini tidak boleh dimansuhkan dan diabaikan atau diubahsuai atau dipinda. Itulah yang berlaku suatu ketika dahulu.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sayangi Kedua IBUBAPA


“ Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya , atau kedua-duanya sekali , sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun) Al-Israa’ 23

“ Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” Al_Israa’ 24.

Disamping ayat-ayat di atas banyak lagi ayat-ayat Al-Quran dan Hadis berkaitan kemestian berbuat baik kepada kedua ibubapa.

Namun dua ayat di atas sudah memadai untuk kita tahu bagaimana pentingnya dan besarnya peranan mereka dalam urusan hidup dan mati kita. Tanpa mereka siapalah kita. Sepanjang masa eloklah sentiasa bermuhasabah bagaimana telah dan seharusnya kita memelihara hubungan dengan kedua ibubapa kita.

Tidak ada alasan untuk tidak berbuat baik kepada kedua ibubapa samaada mereka masih hidup, masih sihat apatah lagi jika mereka sudah uzur atau pun setelah mereka meninggalkan kita.

Oleh kerana ini adalah ayat Al-Quran maka ia adalah perintah untuk berbuat baik, tidak kurang ajar dan disamping itu mendoakan kepada mereka kesudahan yang baik agar dianugerahkan Allah kebaikan dunia dan akhirat.

Ramai Ulama mengatakan bahawa jika kita tidak mendoakan mereka walau tercicir satu hari pun maka kita sudah tergolong dalam golongan orang yang derhaka kepada Allah dan kepada kedua orang tuanya . Oleh itu jadikanlah berdoa untuk kebaikan kedua orang tua ini sebagai amalan kita setiap masa, janganlah kita kikir untuk menadah tangan untuk berdoa. Berdoa boleh dilakukan tidak sahaja dalam solat, lepas solat, sewaktu berjalan, dalam kenderaan, sewaktu hendak tidur, bangun dari tidur malahan dimana sahaja selagi kita berupaya.

Dalam satu riwayat ada mengatakan Rasulullah pernah satu ketika sewaktu menaiki mimbar untuk berkhutbah, berhenti sebentar di setiap satu dari tiga anak tangga mimbar dan menyebut Amin sekali setiap kali berhenti sebelum memulakan khutbah.

Selepas turun dari mimbar baginda ditanya apakah yang berlaku, apakah perintah baru yang diterima? Baginda menjawab bahawa baginda mengaminkan tiga Doa yang dibaca oleh Jibril, salah satunya ialah “Celakalah sesiapa yang mengabaikan kedua ibubapa semasa mereka masih hidup.”

Kebelakangan ini dalam media cetak, seperti akhbar dan majalah, melalui TV, Radio dan Media Internet dan sebagainya, sudah banyak berita sedih termasuk yang bergambar, memaparkan layanan buruk anak-anak terhadap ibubapa mereka. Bukan sahaja ibubapa tidak dilayan dengan baik tetapi hinggakan ada yang sanggup mencederakan dan membunuh mereka.

Sudah banyak tulisan dan ulasan cerdik pandai dan guru-guru agama berbicara tentang perkara ini tetapi kadangkalanya terlalu umum dan juga kerana kesibukan kita tiada masa untuk membaca buku atau tidak tersampai fikiran kita tentang apa yang boleh dilakukan dalam memenuhi tuntutan Allah ini.

Justeru itu, di sini dikemukakan semula beberapa contoh yang dapat dikutip dari pengalaman, pembacaan, kuliah, pemerhatian dan juga kupasan beberapa para ilmuan. Apa yang pasti, ambillah, dan hayatilah serta sesuaikanlah dengan situasi di mana yang perlu.

Sesungguhnya dunia ini amat luas dan penuh dengan pengajaran jika kita mahu berfikir dan mahu mengambil pengajaran daripadanya.

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). AL-Jumaah 10

Sewaktu seorang atau keduanya masih hidup.

1. Jika keduia ibubapa kita tinggal bersama kita, jagalah adab sopan, layanlah dan gembirakanlah mereka dengan sewajarnya. Janganlah kita menyempitkan hidup mereka. Elakkan menjadikan mereka seperti hamba atau orang suruhan dengan melakukan sebarang kerja yang sepatutnya kita lakukan. Cukuplah segala kesusahan yang mereka hadapi sewaktu memelihara dan membesarkan kita.

2. Jika mereka keuzuran atau sakit, pujuklah mereka dengan kata-kata yang baik dan lemah lembut untuk mendapatlkan rawatan walaupun ramai orang tua tidak mahu dengan berbagai alasan yang kadangkalanya hanyalah rekaan semata-mata.

3. Jangan menampakkan sebarang perselisihan jika berlaku antara mana-mana pasangan suami isteri atau adik beradik di hadapan ibubapa, sembunyikanlah semua masalah sedapat mungkin hatta kalau perlu sehingga terpaksa berlakon sekalipun kecualilah kalau sudah tidak dapat diperbaiki lagi. Cuba selesaikan masalah tersebut tanpa melibatkan mereka.

4. Sekiranya tinggal berasingan, gembirakan mereka dengan sentiasa mengunjung jika ada kelapangan. Dengan media telekomunikasi yang pelbagai hubungilah mereka sekerap yang mungkin Jika berpeluang berkunjung jangan sekali-kali menceritakan masalah kita kepada mereka, kita bukan sahaja tidak dapat menggembirakan malahan akan menambah berserabut pula fikiran orang yang sentiasa perlukan ketenangan itu.

5. Jika menghadapi apa-apa masalah, kewangan contohnya, cubalah elakkan dari menambah beban kewangan mereka, cubalah selesaikan dengan kaedah dan cara sendiri yang tidak menyusahkan mereka kecualilah mereka benar-benar mampu membantu kita.

6. Sebagai contohnya dalam bulan Ramadan ini, kalaupun tidak dapat selalu, sekali sekala bawalah keluarga, bawalah isteri atau bagi isteri pula pujuklah suami dan anak-anak pulang berbuka puasa dengan ibubapa, bawalah sedikit buah tangan berupa makanan dan kuih-muih untuk dinikmati bersama. Semua anak tentu tahu makanan kegemaran ibubapa mereka.

7. Lebih molek dan lebih mulia barakahnya jika sewaktu berkunjung, kita dapat solat berjemaah, solat maghrib contohnya secara bersama..

8. Lebih tinggi nilai bakti kita di sisi Allah jika dapat pula membawa mereka terutama yang agak uzur yang tak mampu pergi sendiri ke masjid atau surau untuk bersolat tambahan pula solat Isyak dan tarawih di bulan Ramadan ini. Sesungguhnya ibubapa tidak akan meminta berlebihan, tetapi perihatinlah bahawa jiwa orang Islam mana yang tidak mahu mendekatkan diri mereka dengan masjid dan surau bila telah berusia tua..

9. Tidak semestinya mereka tiada wang, tetapi apalah salahnya kita beli sehelai dua pakaian untuk menggembirakan dan menyejukkan hati mereka, contohnya, sehelai dua tudung kepala untuk ibu dan songkok atau kopiah untuk bapa, mustahil kalau tidak tahu saiz dan warna kegemaran mereka, sedangkan harganya pula tidak seberapa.

10. Jika hendak pulang berbuka puasa di bulan Ramadan ini, pulanglah awal sedikit jangan sudah hampir masuk maghrib baru sampai kerana jika awal, kita ada banyak masa yang boleh digunakan untuk berbual sedikit sebanyak bertanya khabar dan mengetahui jika ada masalah yang mereka hadapi. Jika sebaliknya, kita akan kesuntukan masa kerana selepas berbuka kita akan disibukkan dengan makanan, solat dan lain-lain keperluan.

Mungkin ada anak-anak akan berkata, ini sukar dilakukan kerana pendapatan kami rendah, gaji kami kecil, anak-anak kami ramai, banyak keperluan lain lagi perlu diselesaikan, ataupun ada yang berkata, orang tua kami orang senang, tak kurang apa-apa, rumah mereka besar, tak pernah dengar mereka merungut apa-apa pun dan lain-lain lagi.

Sayugia kita berfikir dan faham bahawa dua ayat ini adalah ayat perintah. Tentulah banyak hikmah dan pengajaran yang terlindung di dalam keperluan taat dan berbuat baik kepada kedua ibubapa.

Kita harus sedar bahawa kita juga akan jadi seperti mereka. Bila anak-anak sudah dewasa, walaupun ada masalah, semua ibubapa akan cuba untuk tidak menyusahkan fikiran anak-anak, apatah lagi kalau hendak membebankan mereka dengan masalah yang dihadapi. Terpulanglah kepada anak-anak bagaimana mencampuri dan melayani kedua ibubapa mereka.

Yang masih bujang lihat dan tanyalah kepada rakan-rakan yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak bagaimana susahnya mereka mendidik dan membesarkan anak-anak terutama dalam dunia serba mencabar sekarang ini.


Jika mereka telah meninggal dunia

1. Sedekahkanlah Al-Fatihah banyak-banyak dan sentiasalah memohon keampunan Allah untuk mereka. Dengan itu mudah-mudahan Allah akan mengampunkan dan menempatkan mereka bersama orang-orang yang Allah kasihi.

2. Infakkan sebahagian harta dan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita atas nama mereka kerana tidak akan kerugian apa-apa, pahalanya tetap kita perolehi tanpa dikurangkan sedikit pun oleh Allah..

3. Langsaikan semua hutang mereka dan jika belum terlaksana tunaikan ibadat haji dan umrah ibubapa kita secepat mungkin.

4. Ziarahlah rakan dan sahabat kedua ibubapa kita kerana ini secara tidak langsung akan menambah jumlah orang yang akan berdoa untuk mereka.

5. Teruskanlah apa-apa kerja baik yang kedua orangtua kita lakukan semasa mereka hidup. Insyaallah, Allah akan tambahkan pahala kepada mereka seolah-olah mereka yang terus melakukannya

6. Maafkanlah apa-apa kesalahan mereka kepada kita jika ada, kerana sesungguhnya tidak ada ibubapa yang ingin berbuat keburukan kepada anak-anak kecuali dalam keadaan dipaksa, jahil dan pelupa.

7. Rujukkan nama mereka dengan perkara yang baik-baik sahaja dan jauhkan mengungkit-ungkit apa-apa yang tidak baik.

Diamping itu banyak lagi perkara-perkara yang mampu kita lakukan sama ada ibubapa kita masih hidup ataupun sudah tiada

Fikirkanlah sejenak bagaimana baginda Rasulullah melayan ibu susuannya (ibu angkatnya) sehingga berusia tua dengan layanan istimewa sedangkan kedua ibubapa baginda sudah tiada sejak baginda kecil lagi.

Sebagai penutup kali ini marilah kita hayati dua lagi ayat Al-Quran dan dua hadis baginda Rasulullah SAW semoga kita sentiasa mendapat rahmat Allah dunia dan akhirat.

”Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya yang mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). “ Luqman 14

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah) Al-Kahfi 107

Hadis Pertama “Kebaikan yang dilakukan didunia adalah seperti sebuah pohon di mana ranting dan cabangnya di dunia dan akarnya di syurga, manakala kejahatan itu seperti sebuah pohon di mana ranting dan cabangnya di dunia manakala akarnya pula di neraka”

Hadis Kedua: “ Jika kamu mempunyai harta infaklah sebahagiannya kepada jalan Allah,
jika kamu mempunyai ilmu, sebarlah ilmu kamu untuk menfaatkan orang lain dan jika kamu mempunyai kekuatan gunakanlah kekuatan kamu untuk berbakti ke jalan ALLAH”

Tanda-tanda awal KANSER


(1) Kanser pangkal rahim
- sebarang lelehan atau pendarahan yg luarbiasa, sakit selepas bersenggama dan turun berat badan.

(2) Kanser payudara
- bengkak atau gumpalan di buah dada, keluar cairan berdarah dari puting, pembesaran kelenjar di ketiak, kedutan pada kulit di buah dada.

(3) Kanser usus besar
- perubahan tabiat membuang air, hilang berat badan, sakit dalam perut dan usus, berlaku pendarahan semasa membuang air.

(4) Kanser paru-paru
- batuk kuat berterusan, batuk berdarah, nafas termengah-mengah, sakit dada dan hilang berat badan.

(5) Kanser perut
- hilang berat badan, muntah berdarah, sistem pencernaan yg tidak teratur, cepat kenyang walaupun makan sedikit.

(6) Kanser limpa
- sakit di bahagian abdomen, hilang selera makan, turun berat badan, kulit dan mata menjadi kuning dan bahagian abdomen membengkak.

(7) Kanser ovari
- haid tidak teratur, tumbuhan keras di bahagian abdomen, sakit semasa bersenggama, ketumbuhan bulu rambut yg melampau, suara menjadi lebih mendalam.

(8) Kanser otak
- sakit kepala, muntah-muntah, gangguan penglihatan, lemah atau lumpuh, pening/ pitam, pelupa, perubahan personaliti.

(9) Kanser prostat
- sukar dan sakit semasa kencing yang berpanjangan.

(10) Kanser darah (leukimia)
- letih, pucat, mudah lebam dan mudah mendapat jangkitan (infection).

(11) Kanser tekak
- suara garau/ serak, ada ketumbuhan di tekak, sukar menelan dan kelenjar membengkak di leher.

10 PENYEBAB UTAMA KANSER

1) Makanan
2) Alkohol
3) Sinaran cahaya matahari
4) Pengambilan ubat
5) Perokok yang tidak aktif
6) Tembakau
7) Radiasi
8) Pekerjaan
9) Pencemaran air dan udara
10) Keturunan

DIET UNTUK MENCEGAH BENJOLAN PADA PAYUDARA

1) Hindari makanan berlemak dan bergoreng
2) Hindari makanan ringan yang masam
3) Kurangkan minum kopi dan minuman bergas
4) Berhati-hati semasa mengambil ubat selsema ataupun aspirin
5) Ambil makanan mengandungi vitamin E, B-6, dan evening primrose oil

Produk Pengguna dan Makanan yang signifikan mendatangkan kanser

1. SATAY bersama dengan timunnya, sebabnya memakan satay bersama karbon yang terhasil selepas pembakaran akan mendatangkan kesan karsinogen! Karsinogen adalah Suatu keadaan yang menyebabkan barah, Timun adalah anti-karsinogen.

2. Jangan makan udang selepas mengambil Pil Vitamin C. Yang mana anda akan mati keracunan Arsenik dalam beberapa jam sahaja.

3. "Bah Kut Teh" (daging babi)
Cuba tuangkan Coke (minuman bersoda) atas kepingan daging babi tu dan tunggu sekejap, anda boleh nampak ulat berenyut-renyut keluar dari sana . Fakta diperolehi dari "Health Corporation of Singapore ".

4. Barah - akibat penggunaan bahan dalam shampoo.
Jika kandungan dalam shampoo anda mengandungi Sodium Laureth Sulfate atau ringkasnya SLS. Bahan ini akan menyebabkan barah dalam jangka masa yang panjang. Shampoo yang disahkan mengandungi bahan ini ialah:- Palmolive, Paul Mitchell, L'Oreal, Hemp Shampoo terbaru keluaran body shop, Nature Force dan lain-lain lagi. Shampoo Clairol's Herbal Essence adalah satu-satunya yang mengandungi Sodium Laureth Sulfate secara tunggal.

Meskipun pertanyaan telah dibuat terhadap syarikat ini dan jawapan dari mereka ialah, "Ya memang kami dah tahu masalah ini tetapi kami tidak boleh melakukan apa-apa kerana kami memerlukan bahan yang boleh mengeluarkan busa yang banyak". Dalam pada itu, Pasta Colgate & Dee Dee (untuk kanak-kanak) turut mengandungi bahan yang sama untuk penghasilan busa.

5. makanan jenis mee segera (tak kiralah maggi, koayteow dsb)

6. Bawang Goreng segera .
Seorang kawan melawat ke sebuah perusahaan kecil membuat bawang goreng, dan melihat terdapat banyak straw minuman, yang bewarna dan tidak bewarna diasingkan. Apa yang mengejutkan ialah Straw yang tidak bewarna dicampur bersama gorengan bawang yang bertujuan apabila plastik straw tersebut dipanaskan, ianya melebur lantas menyaluti bawang tersebut. Sebab itulah kalau bawang goreng segera yang dibeli terdedah kepada udara tak akan lembik tapi kalau kita buat sendiri lembik dalam masa yang singkat sahaja.

Isnin, 1 Ogos 2011

Apakah HUKUM orang PUASA tetapi meninggalkan SOLAT?


Syaikh Muhammad bin Sholih Al 'Utsaimin -rahimahullah- pernah ditanya: "Apa hukum orang yang berpuasa namun meninggalkan solat?"

Beliau rahimahullah menjawab:

"Puasa yang dilakukan oleh orang yang meninggalkan solat tidaklah diterima kerana orang yang meninggalkan solat adalah kafir dan murtad. Dalil bahawa meninggalkan shalat termasuk bentuk kekafiran adalah firman Allah Ta'ala,

فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَنُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

"Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui." (Qs. At Taubah [9]: 11)

Alasan lain adalah sabda Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam,

بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ

"Pembatas antara seorang muslim dengan kesyirikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat." (HR. Muslim no. 82)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam juga bersabda,

الْعَهْدُ الَّذِى بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

"Perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) adalah mengenai solat. Barangsiapa meninggalkannya maka dia telah kafir." (HR. Ahmad, At Tirmidzi, An Nasa'i, Ibnu Majah. Dikatakan shahih oleh Syaikh Al Albani)

Pendapat yang mengatakan bahawa meninggalkan solat merupakan suatu kekafiran adalah pendapat majoriti sahabat Nabi bahkan dapat dikatakan pendapat tersebut adalah ijma' (kesepakatan) para sahabat.

'Abdullah bin Syaqiq –rahimahullah- (seorang tabi'in yang masyhur) mengatakan, "Para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam tidaklah pernah menganggap suatu amalan yang apabila seseorang meninggalkannya akan menyebabkan dia kafir selain perkara solat." [Perkataan ini diriwayatkan oleh At Tirmidzi dari 'Abdullah bin Syaqiq Al 'Aqliy; seorang tabi'in. Hakim mengatakan bahawa hadits ini bersambung dengan menyebut Abu Hurairah di dalamnya. Dan sanad (periwayat) hadits ini adalah shohih. Lihat Ats Tsamar Al Mustathob fi Fiqhis Sunnah wal Kitab, hal. 52, -pen]

Oleh karena itu, apabila seseorang berpuasa namun dia meninggalkan solat, puasa yang dia lakukan tidaklah sah (tidak diterima). Amalan puasa yang dia lakukan tidaklah bermanfaat pada hari kiamat nanti.

Oleh sebab itu, kami katakan, "Solatlah kemudian tunaikanlah puasa." Adapun jika engkau puasa namun tidak solat, amalan puasamu akan tertolak kerana orang kafir (disebabkan meninggalkan solat) tidak diterima ibadah daripadanya.

[Sumber: Majmu' Fatawa wa Rosa-il Ibnu 'Utsaimin, 17/62, Asy Syamilah]
Penterjemah: Muhammad Abduh Tuasikal Artikel www.muslim.or.id